Ini adalah satu perkara yang selalu bermain2 di fikiran saya...alhamdulillah setelah baca artikel ini telah memberikan sedikit idea kepada saya..........terima kasih ustaz. maza.......saya perlu banyak membaca dan berfikir lagi....di sini saya kongsikan artikel tersebut...
Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka?
Disiarkan pada Nov 03, 2011 dalam kategori Dakwah
BOLEHKAH BUKAN MUSLIM SELAMAT DARI NERAKA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.
Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.
Berbudi Baik
Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.
Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.
Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: “Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.
Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.
Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).
Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.
Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.
Selamat Dari Azab
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).
Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:
“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Nisa: 165).
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?
No comments:
Post a Comment