Saturday, November 5, 2011

Amalan bulan Zulhijjah

Setiap Muslim wajib merebut kemuliaan sepanjang Zulhijah dengan mengambil iktibar dan inisiatif menjana akidah tauhid dan menjalin ikatan ukhuwah dalam usaha mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.
.
Banyak keutamaan dan kelebihan orang yang memuliakan 10 hari permulaan Zulhijah dengan melakukan amal salih. Rasulullah SAW bersabda;

ماالعمل فى ايام افضل منها فى هذه. قالوا: ولا الجهاد? قال: ولاالجهاد الا رجل خرج يخاطربنفسه وماله فلم يرجع بشيء.

“Tidak ada hari di mana amal soleh pada masa itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu: sepuluh hari dari bulan Zulhijjah.” Mereka bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?”. Baginda menjawab, “Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan suatu apa pun.” (HR. Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas).
.
.

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Berikut ini beberapa jenis ibadah yang disyariatkan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah,
 .
l.  Menunaikan sebaik-baik amalan iaitu ibadat haji dan umrah.
Sabda Nabi SAW:

العمرة الى العمرة كفارة لمابينهما, والحج المبرور ليس له جزاء الا الجنة.

“Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara kedua-duanya dan haji yang baik (mabrur) tiada baginya balasan melainkan syurga.”  (Muttafaq alaih dari Abu Hurairah)
.
.
2. Berpuasa pada hari Arafah.
Yang paling utama adalah tarikh ke-9, iaitu puasa pada hari Arafah bagi umat islam yang tidak sedang melaksanakan ibadah haji. Puasa ini menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

عن ابي قتادة قال: سئل رسول الله عن صوم يوم عرفة? فقال: يكفر االسنة الماضية و الباقية

Dari Abu Qatadah, ia berkata: Rasulullah SAWpernah ditanya perihal berpuasa pada hari ‘Arafah. Maka Baginda menjawab, “Dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR. Imam Muslim)
.
.
3.  Memperbanyak Dzikir dan Takbir pada hari-hari tersebut
Firman Allah SWT dalam Al-Hajj: 28:

و يذكر وا اسم الله فى أيام معلومت

“… Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan …” .
Para ahli tafsir menafsirkannya dengan 10 hari dari bulan Zulhijjah. Kerana itu, para ulama menganjurkan untuk memperbanyak zikir pada hari-hari tersebut.
.
.
4. Perbanyakkanlah bertahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
.
.
5. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa.
Tidak ada satu manusia biasa pun yang luput dari dosa dan maksiat, hal ini merupakan sunnatullah. Di antara yang dapat menghapuskan dosa dan maksiat adalah dengan bertaubat dan istighfar. Rasulullah SAW bersabda:

لو لم تذنبوا لذهب الله بكم و لجآء بقوم يذنبون ثم يستغفرون فيغفرلهم

“Seandainya kamu tidak pernah berbuat dosa, pastilah Allah membinasakan kamu dan akan didatangkannya suatu kaum yang melakukan dosa, lalu mereka beristighfar dan Allah pun mengampuni mereka.” (HR. dari Abu Ayyub Al-Ansari)
.
.
6. Bertakbir pada hari-hari yang mulia di waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, takbir bermula dari Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijah). Semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijah.
.
Disyariatkan pada hari-hari tersebut untuk ‘Takbir Muthlaq’, iaitu pada bila-bila masa sampai pelaksanaan Solat Sunat Aidil Adha.
Dan disyariatkan juga Takbir Muqayyad, iaitu yang dilakukan setiap selesai solat fardhuSubuh Hari ‘Arafah hingga Asar akhir hari-hari Tasyrik. berjemaah. Bermula daripada
Adapun lafaznya:

الله اكبر الله اكبر (الله اكبر), لاإله الا الله, الله اكبر الله اكبر و لله الحمد

.
Imam Ishaq meriwayatkan bahawa fuqaha (ahli fikah) di kalangan tabien (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari itu “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu”.
.
.
7.  Sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah dan menjauhi larangan-Nya serta mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
.
.
8.  Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya. Hal ini kerana semuanya akan digandakan pada hari itu.
.
.
9. Melaksanakan Solat Sunat Aidil Adha
Menunaikan solat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbahnya.
  • Nabi SAW selalu melakukan solat Aidil Adha di setiap kedua-dua hari raya, secara berjemaah dan tidak pernah meninggalkannya sekalipun, bermula dari disyariatkannya sampai beliau wafat.

  • Baginda memerintahkan kepada kaum kaum muslimin dan muslimat untuk turut melaksanakannya, bahkan wanita yang sedang haid pun disarankan untuk menghadiri tetapi tidak melakukannya.
.
.
10. Mengerjakan amalan korban  pada hari raya haji dan hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Ia adalah sunnah (amalan) Nabi Ibrahim selepas Allah mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT. daripada Bani Adam a.s ketika Hari Raya Aidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”  (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.)
.
.
Begitu besar keutamaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah, semua amal soleh yang dikerjakan pada hari itu lebih dicintai Allah daripada hari-hari yang lain. Jangan sampai disia-siakan peluang ini… Maka marilah kita ikhlaskan niat dan perbanyakkanlah amal soleh dengan mengikuti ibadah-ibadah yang disyariatkan tersebut.

Sumber: Shafieqolbu.wordpress

No comments:

Post a Comment