beberapa hari yang lepas sy & keluarga
berkesempatan memenuhi hak sesama muslim ~ menghadiri satu undangan
majlis perkahwinan seorang kenalan suami. walau meredah hujan yg lebat
alhamdulillah kami selamat sampai ke tempat yg dituju.
sedang
kami menjamah hidangan tiba beberapa orang kampung tempatan (agaknya)
yg sudah veteran...salah seorang pakcik berkata "tak baling sp**der ke
atas bumbung ke semalam?" jawab makcik yg lg sorang..."entah, dah
bagitau Cikgu R (tuan Rumah) suruh baling...semalam rumah si Anu elok
panas,hari ni hujan pulak..."
sy dan suami
saling berpandangan...dalam hati saya mengucap panjang. inilah kali
pertama sy dengar petua nak elak hujan..Astaghfirullahal a'zim.. tp
memang patut pun tuan rumah xdengar cakap makcik tu, walau hujan turun
mencurah-curah tapi majlis beliau tetap meriah dan semua meja sentiasa
penuh dengan tetamu..
pada saya inilah
satu kepercayaan di kalangan masyarakat melayu yang tidak boleh diguna
pakai, seolah2 kita yang mengatur hari hujan atau pun tidak...bukankah
hujan itu suatu rahmat dan salah satu masa mustajab berdoa ialah pd
waktu hujan??
Perkataan
khurafat ini berasal dari bahasa arab :kharafa-yakhrifu- kharfan-
khurafatan. Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada
"superstition".
Dari
segi bahasa khurafat didefinisikan sebagai sebaris kata yang membawa
erti kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. Contohnya :
kata-katanya itu banyak bida’ah dan khurafat. Ia merupakan amalan hidup
yang pernah wujud di dalam masyararakat jahiliah pada masa lalu.
Manakala
menurut istilah syarak pula mengertikan perkara ini sebagai semua
kepercayaan yang diyakini kegiatannya memiliki dasar dan bersumber
daripada ajaran agama Islam walaupun pada hakikatnya perkara tersebut
adalah bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w,
iaitu penutup para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t.
Pada
mulanya perkataan ini lebih dimaksudkan untuk semua hal atau
kepercayaan yang bertentangan dengan kaedah Islamiah yang benar. Akan
tetapi selanjutnya juga dimaksudkan untuk semua praktik, aktviti mahupun
kegiatan muamalah atau bidang-bidang yang menjadi lapangan berlaku
tuntutan syariat padanya.
Ramai
di antara umat Islam terlepas pandang atau tidak mengambil berat akan
perkara ini, namun inilah hakikatnya bahawa gejala ini telah menular di
dalam agama Islam dalam pelbagai sudut, aspek dan bentuk sehingga ia
telah meliputi konsep ibadah dan kehidupan masyarakat Islam sendiri.
Khurafat
yang diyakini oleh pelakunya sebagai sesuatu yang dibenarkan oleh agama
mungkin sahaja dapat dapat memberikan ketenangan dan kemantapan jiwa
bagi melakukannya. Malangnya, kerana perbuatan itu pada dasarnya
menyimpang dari tuntutan agama yang sebenar, maka kenikmatan itu adalah
bersifat semu, iaitu tidak kekal. Hal ini sama sekali bertentangan
dengan fitrah manusia kerana ia bertentangan dengan akal sihat.
Bila
Islam memusatkan seluruh pengabdian kepada Allah s.w.t maka khurafat
menyelewengkannya daripada pemusatan tersebut secara tidak langsung dan
bila Islam melapangkan bidang muamalah bagi manusia, ia cenderung pula
untuk menyempitkannya.
AMALAN KHURAFAT MASIH BERTERUSAN
Dalam
kalangan masyarakat sekarang, negara kita umumnya terdapat banyak
gejala khurafat, ia adalah hasil budaya orang kita yang terlalu
percayakan hal-hal yang bawa oleh orang terdahulu daripada mereka tanpa
merujuknnya secara mendalam di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta para
alim ulama kerana iman yang kurang mantap termasuk sikap masyarakat yang
inginkan jalan mudah dalam mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup
serta sikap orang kita yang amat kuat berpegang kepada adat. Buktinya
peribahasa yang berbunyi “Biar mati anak, jangan mati adat.”
Adapun
gejala khurafat ini terdidik dari kecil, contohnya di dalam budaya
masyarakat kita adalah menjadi kebiasaan kanak-kanak sering ditakutkan
dengan hantu pada malam jumaat sedangkan pada malam tersebut Allah s.w.t
menurunkan rahmat untuk semua hamba-Nya pada malam tersebut. Bahkan ada
lagi satu situasi di mana kanak-kanak takutkan dengan hantu apabila
tidak mendengar ibu bapa, kenapa sahaja tidak katakan kepada anak
tersebut bahawa Tuhan akan marah? Rasanya itu lebih baik dan akan
memupuk semangat takut akan Maha Pencipta.
Walau
bagaimanpun khurafat juga boleh berlaku secara tidak sengaja oleh
pelakunya atau sebaliknya. Hal ini boleh berlaku terhadap sesuatu
individu, kelompok dan istitusi masyarkat masa kini kerana lemahnya
mereka yang bersangkutan untuk menolak godaan khurafat atau ada
maksud-maksud tertentu. Mungkin tanggungjawab terhadap Allah s.w.t jauh
lebih berat dan besar dibandingkan dengan pelanggaran- pelanggaran
lainya yang dilakukan dengan sengaja.
Khurafat
secara tidak sengaja lazimnya berlaku disebabkan oleh kejahilan
pelakunya bahawa hal berkenaan tidak dibenarkan oleh Islam dan terpesong
dari landasan yang benar. Namun, bagi mereka yang melakukan perbuatan
khurafat ini dengan sengaja ataupun tidak, pintu taubat masih terbuka
untuk mereka asalkan mereka mahu bertaubat.
BENTUK KHURAFAT.
Khurafat
masih wujud di dalam masyarkat Islam sekarang, bahkan ia juga telah
muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk
perbuatan tertentu, ungkapan tertentu, cerita atau kisah tertentu,
bilangan tertentu, serta konsep, prinsip atau mazhab tertentu. Amalan
mengunjungi kubur yang dianggap keramat mempercayai binatang seperti
burung boleh membawa tuah atau sial membuang ancak bagi menghalau hantu
adalah sebahagian bentuk gejala khurafat.
Melenggang Perut.
Adat
melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di
selatan semenanjung manakala di sebelah utara semenanjung lebih dikenali
dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan
ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia
bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang
sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi
memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka
pada masa itu, bidan akan dipanggil untuk memeriksa dan menentukan
isteri yang hamil itu betul-betul telah genap tujuh bulan hamil atau
belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh bulan isteri itu
hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat
melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk
menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah
seperti berikut:
1.Tujuh helai kain yang berlainan warna.
2. Satu gantang beras.
3. Sebiji buah kelapa.
4. Beberapa urat benang.
5. Satu batang damar.
6. Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.
7. Beberapa batang lilin.
8. Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.
9. Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.
Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:
Mula-mula
tok bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara
melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di
atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut
dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.
Selepas
itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara
perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh
kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta
dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh
tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka
atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu
menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala
ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Setelah
itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan
atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung
yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil
dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan
Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah
badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis
ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu
tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan
bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan
wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.
Biasanya,
pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang
akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa
kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan
dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.
Temasya Mandi Safar
Temasya
Mandi Safar merupakan satu perayaan orang Melayu khususnya orang Melaka
yang diwarisi sejak zaman berzaman. Temasya ini diadakan setiap tahun
apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. Ia
disambut pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan tersebut.
Sebelum
Perang Dunia II, sebahagian masyarakat menganggap temasya mandi Safar
ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Islam. Menurut anggapan
mereka, kononnya hari tersebut dirayakan sebagai menyatakan kesyukuran
kerana junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. telah sembuh daripada sakit
yang amat berat.
Ada
pendapat yang menganggap bulan Safar bulan Nahas atau bulan Bala kerana
di dalam bulan ini terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak
menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini. Oleh itu orang-orang tua
sering mengingatkan anak cucu mereka agar berhati-hati ketika melakukan
sebarang pekerjaan.
Oleh
kerana wujud kepercayaan seumpama ini, maka upacara perkahwinan,
pertunangan dan majlis keraian tidak dilalukan pada bulan tersebut
kerana dipercayai jodoh teruna dan dara tidak berkekalan.
Di
Melaka tempat yang terkenal mengamalkan pesta Mandi Safar ialah di
Tanjung Beruas, Tanjung Kling, Melaka. Tempat ini terletak di tepi laut
Selat Melaka iaitu kira-kira tujuh batu dari Bandar Melaka.
Dalam
menjayakan pesta ini, kereta lembu memainkan peranan yang penting.
Pemilik kereta lembu yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat tani
akan mengambil bahagian. Setiap tahun pada malam Rabu akhir bulan Safar
mereka akan membanjiri sepanjang pantai Tanjung Keling dengan membawa
kumpulan mereka. Beberapa minggu sebelum tibanya hari tersebut,
lembu-lembu ini akan dibersihkan dan disapu minyak. Di samping itu
mereka akan mengumpulkan alat muzik seperti biola, gong dan gendang bagi
mengiringi mereka nanti.
Semasa
dalam perjalanan mereka akan mengesek biola, memukul gendang dan gong
serta menyanyi sepanjang jalan sehingga ke Tanjung Kling. Mereka akan
menyanyi sambil berbalas pantun dalam berbagai corak pantun.
Azimat
Semua
benda-benda yang dipercayai dapat melindungi diri seseorang daripada
segala ancaman marabahaya atau mencegah musibah daripada menimbah diri
manusia. Tangkal adalah salah satu daripadanya. Tangkal merupakan barang
yang dibuat untuk dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari
benang, kalung yang diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk
diletakkan di tempat-tempat tertentu dengan tujuan melindung dari
gangguan syaitan seperti kemenyan yang dibalut dengan kain dan diletak
di sudut kediaman.
Lazimnya
benda-benda sebegini didapati daripada pengamal-pengamal ilmu hitam
atau sihir dan ia diyakini mempunyai kekuasatan ghaib serta memilik
khadamnya yang terdiri makhluk ghaib.
Manakala
waraq pula adalah azimat dalam bentuk tulisan-tulisan berupa huruf,
nombor, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau kepingan
tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan kadangkala
bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran. Itulah sebabnya ada golongan
yang terpedaya sehingga mempercayai ia berkaitan dengan ajaran Islam.
Jika
wafaq tersebut mempunyai tulisan ayat Al-Quran maka si pemakainya
sebenarnya telah menghina Al-Quran kerana menganggap remeh ayat-ayat
dalam kitab suci itu dan ini benar-benar bertentangan dengan apa yang
dimuatkan di dalamnya. Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk
dari kegelapan, bukan sebagai azimat.
Fenomena
ini bertentangan dengan Islam kerana tiada daya melainkan Allah s.w.t.
Dan tentunya kita pernah mendengar ayat ini “Tidak akan berlakunya
sesuatu perkara itu melainkan dengan izin Allah s.w.t.” Perbuatan ini
ditentang keras di sisi agama islam kerana ia boleh menjerumuskan
seorang individu kepada syirik. Tambahan lagi hadis umumnya melarang
azimat dan tidak disebutkan pula pengecualiannya walaupun ada
percanggahan pendapat dalam kalangan alim ulama.
Tercetus
daripada kemajuaan teknologi yang dikecapi oleh masyarakat masa kini.
Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak perasan, terlepas pandang
dan tidak mengambil berat perkara ini bahawa bentuk amalan ini mempunyai
unsur-unsur khurafat yang amat halus.
Jika
kita selidiki setiap surat berantai atau SMS berantai pastinya
dimulakan dengan cerita-cerita yang menginsafkan dan mengingatkan
kembali seseorang akan tuntutan Islam namun sebaliknya pula di akhir
helaian atau pun SMS. Contoh pengakhiran suatu SMS atau surat berantai
lebih kurang begini :
“Barang
siapa yang tidak menyebarkan SMS kepada sepuluh orang ini atau
mengabaikannya, maka dia akan ditimpah kesusahan selama tujuh hari.
Manakala siapa yang mereka menyebarkannya pasti ada akan dilimpahi kesenangan daripada Allah s.w.t selama tujuh minggu.”
Justeru,
orang yang menerima SMS atau surat tersebut pun terpedaya dan
menyebarkannnya kepada sepuluh orang kerana takut dengan kesusahan yang
diperkatakan itu sama ada secara terpaksa atau tidak.
Namun
itu bukanlah persoalannya utamanya, persoalannya di sini mereka yang
mempercayai perkara ini telah dipesongkan akidahnya. Sama ada percaya
atau tidak, mereka yang termakan dengan ayat seperti di atas sebenar
telah meletakkan kekuasaan untuk menentukan takdir hidup mereka pada
SMS atau helaian berkenaan bukannya Allah s.w.t. Susunan ayat seperti
di atas telah mengalihkan keyakinan mereka daripada Maha Pencipta secara
halus. Kemungkinan gejala terbaru ini adalah sebahagian rancangan
musuh-musuh Islam tidak boleh diambil ringan.
AKIBAT MEMPERCAYAI ATAU MENGAMALKAN PERBUATAN KHURAFAT.
Gejala
khurafat boleh menyeleweng akidah seorang invidu muslim dengan
mengalihkan pergantungan manusia daripada Khalik (Pencipta/Allah) kepada
makhluk (yang dicipta). Hal ini ditegaskan boleh menjatuhkan kepada
seorang individu muslim kepada syirik kerana apabila kita merujuk kepada
Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada
Allah s.w.t dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya sama ada
bagi mendapat kebaikan atau menolak keburukan. Yang memberikan
kenikmatan dan keyakinan hanya Allah s.w.t. kepada- Nya seluruh makhluk
bergantung.
Firman Allah :
“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya
selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehnedaki ke atas
kamu sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari
kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu
dianugerahkan kepada ku adakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya.
Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakal.”
( Surah Al-Zumar : Ayat 38 )
Khurafat
boleh membatalkan iman seorang muslim dan menggugurkan syahadah yang
telah diucapkannya disamping membazir masa, tenaga dan harta dengan
perkara sia-sia serta menyekat akal berfikir secara logik dan sistematik
disamping boleh menjatuhkan seorang muslim kepada syirik. Hadis Nabi :
“Sesiapa
yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak
termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu
tertolak (tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan
pahala)”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
Kemudian, masyarakat yang mengamalkan akan mengalami banyak krisis kemunduran terutama sekali amalan akhlak. Situasi ini boleh kita lihat apabila merenung bagaimana keadaan masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai perkara telah disempitkan oleh gejala khurafat. Fikiran pun kolot.
Oleh yang demikian tidak beruntunglah sesuatu bangsa suatu umat selagi mana amalan khurafat ini masih bertapak di dalam kelompok mereka walaupun mereka dapat mengecapi nikmat dunia.
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48:
Maksudnya:
“
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan
mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “
semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita & menjauhi kita dari segala yang menyesatkan.
Sumber: ustazahmarziana.blog
No comments:
Post a Comment